Hidupkan tradisi jinak tekukur
JERANTUT 30 Dis. – Sebagai insan biasa, setiap manusia mempunyai minat dan hobi bagi memenuhi masa senggang masing-masing. Namun, ada kalanya hobi yang dilakukan bertukar menjadi usaha yang boleh mendatangkan rezeki yang lumayan.
Tidak kira apa pun hobi yang dilakukan, ia lebih bertujuan memberi kepuasan peribadi walaupun sanggup berhabis wang dan masa.
Disebabkan hobi juga, seseorang sanggup datang dari tempat yang jauh untuk mendapatkan sesuatu yang tidak boleh ditemui di tempat asalnya.
Ada juga hobi yang mampu melestarikan warisan bangsa dan mengangkat kesenian agar tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.
Malah, hobi tersebut dapat dijadikan sebagai salah satu daripada acara dalam kalendar pelancongan.
Tidak kurang juga terdapat hobi yang semakin ditelan zaman akibat perubahan semasa dan kemajuan teknologi.
Salah satu hobi tersebut ialah aktiviti menjinakkan burung tekukur yang pernah menjadi kegilaan di kalangan masyarakat Melayu dahulu.
Bagi memastikan hobi tersebut tidak terkubur, seramai 60 pemelihara dan peminat burung tekukur berhimpun di Kampung Sungai Kiol di sini baru-baru ini semata-mata mahu berkongsi minat tersebut.
Mereka terdiri daripada ahli Kelab Tekukur Ten Forumer (TTF) dari seluruh negara yang berhimpun di sini dalam usaha menghidupkan semula tradisi menangkap, menjinak dan memelihara burung tekukur yang pernah menjadi salah satu hobi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
Perhimpunan sehari itu menyaksikan ahli-ahli kelab terbabit membawa pelbagai peralatan bagi menjalankan demonstrasi menangkap dan menjinakkan burung tekukur.
Acara bermula pada awal pagi apabila setiap ahli beredar ke kawasan masing-masing sambil membawa ‘tekukur denak’ yang digunakan bagi memikat dan mendapatkan burung tekukur menerusi kaedah tradisional iaitu menggunakan racik dan jebak.
Jumlah tangkapan (burung tekukur yang berjaya dipikat oleh denak) terbanyak akan diiktiraf sebagai pemenang.
Bagaimanapun, burung tekukur yang diperoleh itu akan dilepaskan semula ke dalam hutan supaya haiwan itu bebas dan membiakkan spesiesnya.
Selain melaksanakan aktiviti memasang denak, inovasi para ahli juga turut dinilai menerusi kesenian ‘catuk’ atau bekas simpanan burung tekukur mereka yang dijadikan denak.
Menurut Penyelaras Projek, Ramli Rosdi, kegiatan berkenaan merupakan pengisian tahunan untuk menghimpunkan ahli TTF seluruh negara tanpa mengira kaum dalam usaha mengeratkan hubungan dan semangat muhibah berasaskan gagasan 1Malaysia.
‘‘Pertemuan ini membolehkan ahli kami yang mempunyai permit memelihara burung tekukur bertukar pendapat dan bersama-sama memikirkan kaedah tertentu bagi mengembangkan lagi kesenian dan warisan memikat burung ini.
‘‘Aktiviti ini lebih bersifat pengetahuan bagi membantu kerajaan menjaga ekosistem dan biodiversiti yang ada di samping mendedahkan kegiatan memikat burung tekukur ini supaya diketahui generasi hari ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kiol baru-baru ini.
Menerusi pertemuan itu kata Ramli, ahli dapat mengetengahkan kemahiran dan inovatif mengenai kesenian pembuatan catuk serta cara memikat burung tekukur berasaskan minat dan kebolehan masing-masing.
Sementara itu, seorang peminat burung tekukur berlesen dari Kuala Lumpur, Mohd. Nasir Hussein, 40, memberitahu, program itu antara kaedah terbaik memulihara warisan seni memikat tekukur dan mendedahkan kepada masyarakat bahawa kegiatan tersebut bermanfaat ke arah mengangkat seni warisan tradisional untuk tatapan pelancong.
‘‘Program tahunan ini ditumpukan di setiap lokasi yang berbeza bertujuan menambah bilangan ahli dan peminat tekukur dalam usaha mengembangkan warisan di kalangan belia,” katanya.
Ahli TTF dari Negeri Sembilan, Lokman Man, 34, pula berkata, kegiatan itu dapat menyatukan peminat burung tekukur yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan kaum dari seluruh negara.
‘‘Penyertaan semua kaum dalam kegiatan TTF menzahirkan perpaduan dan mendedahkan kepada masyarakat mengenai kebaikan kegiatan ini,” katanya.
Rakannya dari Kelantan, Nordin Yusof, 45, pula menjelaskan, banyak pengetahuan dapat dicanai menerusi pertemuan tahunan itu sekali gus tradisi memelihara burung tekukur dapat dikembangkan pada masa akan datang.
‘‘Kegiatan ini dapat mendekatkan ahli dengan alam semula jadi dan habitat burung tekukur yang menjadi penyumbang kepada keseimbangan alam,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan