ALUAN

Agama Ku

Agama Ku

Pesanan

Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.
(Muslim)


Rabu, 6 April 2011

Rezeki memikat tekukur


Rezeki memikat tekukur




KOMUNITI peminat burung tekukur mudah ditemui di Kelantan.


NEGERI Cik Siti Wan Kembang sememangnya masih tebal dengan amalan dan adat tradisi dalam kalangan masyarakatnya. Selain permainan tradisional seperti dikir barat dan mak yung, warga Kelantan juga terkenal dengan sukan berasaskan haiwan.
Selain pertandingan ayam serama, rakyat di negeri itu juga gemar pada satu lagi aktiviti waktu senggang iaitu memikat burung tekukur. Turut dikenali sebagai merbuk, ia adalah spesies burung yang habitat liarnya di hutan dan pinggir bukit.
Untuk memikat (menjerat atau menangkap) burung ini, seseorang itu perlu mengenal pasti kawasan tempat tinggalnya. Lebih baik jika seseorang yang ingin memikat turut mengetahui kawasan unggas itu suka mencari makanan.
Walau bagaimanapun, kerja memikat burung tekukur ini memerlukan kesabaran yang tinggi dan kadang-kadang terpaksa mengambil masa berhari-hari untuk mendapatkan seekor burung yang digemari. Lazimnya, pilihan itu dibuat berdasarkan pada bunyi kicauan yang merdu.
Muslihat denak
Untuk tujuan memikat tekukur, seseorang pemikat memerlukan seekor denak (umpan burung pemikat yang ditambat) dan jerat dengan menggunakan tali dan dua batang pemacak iaitu unjang yang diperbuat daripada besi tembaga.
ABDULLAH BAKRI JUSOH berjaya menghasilkan anak burung tekukur untuk dijadikan burung denak.


Burung yang berada di atas pokok di sekitar kawasan berhampiran akan terbang mendekati denak yang biasanya dipasang di kawasan lapang. Bunyi kokokan denak sering dianggap sebagai panggilan cabaran untuk bersabung.
“Burung tekukur liar yang tersilap langkah akan memasuki jerat tersebut. Kebiasaannya, ia sudah tidak boleh terlepas lagi dari perangkap itu apabila sebelah kakinya sudah terikat,” kata seorang pemikat tekukur, Abdullah Bakri Jusoh, 50.
Abdullah ditemui dalam pertandingan memikat burung tekukur di Gunung, Bachok anjuran Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas), Bachok baru-baru ini.
Menurut Abdullah, hobinya memikat burung tersebut bermula sejak usia muda lagi. Dia juga pernah menternak sebanyak 200 ekor burung tekukur pada satu-satu masa. Burung-burung tersebut diperoleh dari hutan Kelantan dan Terengganu.
Pendapatan sampingan
Katanya, seekor burung berkenaan mampu mencapai harga antara RM1,000 hingga RM2,000 bergantung kepada kemerduan bunyinya.
“Saya pernah menjual burung itu kepada peminat burung termasuk dari Johor dan Negeri Sembilan,” kata Abdullah yang berasal dari Kampung Seri Aman, Pasir Puteh dekat sini.
Rakannya, Abdullah Deraman, 47, pula berkata dia mula memikat burung tekukur sejak tiga tahun lepas sebagai aktiviti mencari pendapatan sampingan.


ILIAS (tengah) menyampaikan hadiah kepada Mohd. Shaharudin Mat Zin (kiri) iaitu juara Pertandingan Memikat Burung Tekukur di Kampung Bukit Kecil Gunung, Bachok, Kelantan.

Sehingga kini, dia yang bekerja sebagai pesawah itu mempunyai 34 ekor burung yang sedia untuk dijual kepada peminat burung. Abdullah meletakkan harga antara RM150 dan RM700 seekor.
Beliau berkata burung-burung berkenaan diperoleh dari hasil usaha memikat di sekitar kawasan pinggir hutan di Bukit Jawa, Kedai Mananti dan Pasir Puteh.
Sementara itu, anggota Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Dr. Ilias Hussin ketika merasmikan pertandingan itu berkata, pertandingan memikat burung boleh dikomersialkan bagi memberi pendapatan tambahan kepada petani.
Pertandingan itu sesuai diadakan pada hujung minggu untuk menarik minat orang ramai termasuk pelancong asing yang menyaksikannya.
Beliau berkata pihak penganjur boleh mengadakan usaha sama dengan pengusaha inap desa yang berdekatan untuk menjadikan pertandingan itu sebagai salah satu produk pelancongan. – Bernama